Friday, June 16, 2006

LAWATAN PUSTAKAWAN KE PUSAT PERKHIDMATAN DAN ILMU KOMUNITI (PPIK) PERPUSTAKAAN DESA KAMPUNG TELAGA AIR, KUCHING SARAWAK
(ihsan berita dari Setiausaha PPMKSAR, En Wan Mazli bin Wan Razali)

Rombongan para Pustakawan dan pegawai Pustaka Negeri Sarawak, Unit ICT, Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Sarawak Information System Sdn. Bhd. dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah mengadakan lawatan ke PPIK Kampung Telaga Air, Kuching Sarawak pada Sabtu, 10 Jun 2006 jam 9.30 pagi.

Tujuan lawatan diadakan adalah bertujuan untuk meninjau perkembangan kemudahan yang disediakan oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) di Perpustakaan desa berkenaan.

PPIK adalah satu program biayaan KTAK yang diperkenalkan pada 2005 bagi merapatkan jurang digital diantara penduduk Bandar dan luar Bandar. Program PPIK ini dibangunkan di atas perpustakaan desa dibawah projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) atau “Universal Service Provision (USP)”. Projek PPS adalah penyediaan infrastruktur ICT untuk penambahbaikan sesebuah perpustakaan di kawasan luar Bandar. Manakala PPIK adalah penyediaan sumber manusia yang terlatih bagi membantu kominiti memanfaatkan infrastruktur ICT yang disediakan untuk bagi meningkatkan tahap celik maklumat yang sekaligus meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

PPIK berfungsi untuk:-
* menyediakan perkhidmatan infrastruktur komunikasi dan kemudahan capaian Internet di kawasan luar bandar, pinggir bandar dan pedalaman;
* merapatkan jurang digital antara masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar serta masyarakat luar jangkau (underserve community); dan
*menyediakan latihan dan kemahiran ICT kepada masyarakat di kawasan luar bandar, pinggir bandar dan pedalaman.

Kampung Telaga Air terletak di pinggir Bandaraya Kuching. Perjalanan ke kampung ini adalah selama lebih kurang lima puluh minit dari pusat Bandar. Kebanyakan penduduk adalah dari kalangan bangsa Melayu beragama Islam. Nelayan dan Petani adalah pekerjaan utama masyarakat di sini. Ianya telah dipilih sebagai tapak perintis program PPIK di Negeri Sarawak tahun 2005 kesan dari sambutan yang amat menggalakan dari masyarakat tempatan tentang peri pentingnya perpustkaan di kampung mereka. Perpustakaan Kampung Telaga Air diletakan dibawah bidang kuasa Majlis Perbandaran Padawan.

Sepanjang lawatan para Pustakawan dan pegawai tersebut telah diberi penerangan tentang PPIK Telaga Air. Rombongan lawatan juga berpeluang melihat program literasi maklumat dan komputer untuk warga emas yang dikendalikan oleh penyelia yang telah dilantik oleh KTAK iaitu Cik Mariani Mohamad bersama dengan Ahli Jawatankuasa beliau.

Semenjak dilaksana PPIK pada 2 Mei 2006 beliau telah melatih seramai 101 warga Kampung Telaga Air.

Antara aktiviti lain yang turut diadakan di PPIK adalah:-
* Sesi pengenalan kepada internet dan laman web yang berkaitan dengan kerjaya mereka.
* Memperkenalkan laman-laman web kerajaan
* Penggunaan komunikasi dalam talian melalui mel elektronik.

Dilihat program PPIK anjuran KTAK amat bermakna untuk masyarat luar Bandar. Sambutan yang diterima selepas program PPIK ini dilancerkan amat menggalakkan daripada para peserta kerana melalui program ini mereka dapat meningkatkan pengetahuan dalam bidang yang diceburi serta dapat mencetuskan idea-idea baru yang bernas untuk kepentingan mereka sama ada dari segi kerjaya atau maklumat untuk meningkatkan tahap literasi.

Nota:
KTAK telah manambahbaik 104 Perpustakaan Awam dan Desa di Negeri Sarawak hasil dari Projek USP yang dilaksanakan mengikut fasa bermula dari fasa ke-2 pada 2003 sehingga fasa ke-4 pada 2005. KTAK telah meneruskan projek ini dengan fasa ke-5 pada 2006. Program PPIK juga diteruskan, dan Pustaka Negeri Sarawak telah mencadangkan 35 tapak dari kalangan tapak-tapak USP sedia ada untuk program ini.