Friday, January 19, 2007

“PPMKSAR Appreciation Hi-Tea and ILC2007 Preview”


Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sarawak [PPM Kumpulan Sararwak] telah menganjurkan “PPMKSAR Appreciation Hi-Tea and ILC2007 Preview” untuk meraikan semua ahli-ahlinya di Merdeka Palace Hotel & Suite, Kuching pada 17 Januari 2007.

Presiden PPM, Yang Berusaha Puan Putri Saniah Megat Abdul Rahman dan Setiausaha Kehormat, Puan Maimunah Kadir selaku tetamu kehormat telah sudi hadir ke program tersebut.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi PPMKSAR, Puan Rashidah Haji Bolhassan. Beliau mengalukan kehadiran dan penglibatan semua ahli PPMKSAR ke dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh PPM sebagai tanda sokongan kepada persatuan dan juga profesion kepustakawanan.

Tetamu yang hadir juga telah diberi taklimat mengenai Persidangan peringkat antarabangsa yang akan dianjurkan oleh PPMKSAR pada Julai 2007 ini. Penganjuran persidangan ini merupakan mandat yang telah diberikan oleh PPM Induk. Persidangan Perpustakaan Antarabangsa tersebut akan diadakan di Hotel Crowne Plaza Riverside Kuching, pada 12 – 14 Julai 2007. Puan Roslinda Hanim Binti Mohd Yusoff, Biro Penerbitan dan Publisiti telah diberi kepercayaan untuk menyampaikan taklimat tersebut kepada hadirin.

Presiden PPM Induk telah sudi merasmikan pelancaran laman web persidangan pada majlis tersebut. Laman web tersebut boleh dilayari di
http://www.ilc2007.netmyne.com.

Acara kemuncak majlis ini apabila semua hadirin dihidangkan dengan ceramah bertajuk “Library Professions and Direction” oleh Yang Berusaha Puan Putri Saniah Megat Abdul Rahman. Ceramah yang penuh informatif itu telah membuka minda para Pustakawan muda dan bakal Pustakawan dari Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Kampus Samarahan untuk memahami dengan lebih mendalam tentang prospek, cabaran dan kemahiran yang perlu ada pada seorang Pustakawan.

Jasa mantan ahli-ahli jawatankuasa PPMKSAR tidak dilupakan dan sumbangan mereka dalam menerajui sesi 2004-2006 amat besar dan perlu dihargai. Sijil Penghargaan disampaikan oleh Puan Presiden bagi mengabadikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka. Selain itu, sijil penghargaan juga diberikan kepada para pelajar semesta akhir Diploma Pengurusan Maklumat, Fakulti Pengajian Maklumat di atas sumbangan dalam merekabentuk laman web “International Library Conference [ILC2007].

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home